Search This Blog

Tuesday, January 27, 2009

ANWAR DAN "REVERSE TAKEOVER" DI PERAK

( petikan dari www.Detikdaily.net


Nama Dato' Nasaruddin Hashim tidak dikenali sehinggalah beliau menyertai PKR. Namun, itu tak penting. Apa yang penting ialah beliau telah memohon menyertai PKR dan menjelaskan alasan mengapakah beliau menyertai parti itu. Sama ada kita menerima alasan itu atau pun tidak, sekali lagi itu tak penting.


Lompat parti bukanlah isu di Malaysia saja. Di mana-mana sistem demokrasi diamalkan, isu ini timbul. Pelbagai pihak melihat aspek moral tindakan sedemikian. Malah, Pengerusi DAP Karpal Singh pernah berkata beliau tidak menyokong melompat parti dan menyatakan bahawa parti itu bersedia memberikan sokongan di Parlimen sekiranya kerajaan ingin mengadakan undang-undang bagi tujuan itu. Sehingga kini saya belum lagi membaca kenyataan Karpal mengenai isu Nasaruddin menyertai PKR dan masih kekal ADUN Bota. Adakah Karpal akan bersikap membisu memandang isu ini membabitkan rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat, sama-samalah kita tunggu. Dari segi undang-undang, adalah tidak menjadi kesalahan untuk melompat parti. Seseorang juga tidak perlu meletakkan jawatan ADUN atau Ahli Parlimen apabila dia melompat parti. Oleh itu, apabila ada pemimpin politik yang mengatakan Nasaruddin perlu meletakkan jawatan, kenyataan itu dibuat dari aspek moral seorang seorang wakil rakyat yang dipilih atas tiket Barisan Nasional. Bagi PKR, lompatan Nasaruddin adalah merupakan "kemenangan" baginya. Dalam P44 Permatang Pauh, PKR menang dengan bergaya.



Bagaimanapun, PAS mencuri tumpuan apabila ia menang dengan cemerlang dalam P36 Kuala Terengganu. Dengan isu Nasaruddin, PKR kembali mendapat perhatian. Isu lompatan Nasaruddin bukanlah baru. Malah, sewaktu pemilihan Ketua UMNO Bahagian Parit, penyokong-penyokong beliau dilaporkan sebagai berkata Nasaruddin akan masuk PKR sekiranya kalah. Apabila beliau selaku Timbalan Ketua Bahagian gagal untuk naik selangkah ke atas, maka itulah keputusan yang diambil.



Ada orang membuat spekulasi bahawa ini adalah permulaan kepada "reverse takeover" jawatan Menteri Besar Perak oleh PKR. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa ADUN PKR sepatutnya menjadi Menteri Besar selepas calon DAP yang bukan Melayu ditolak.



Bagaimanapun oleh kerana ADUN PKR sedia ada tidak melepasi batas kelayakan menjadi Menteri Besar, maka nama ADUN PAS dikemukakan kepada Istana Perak -- walaupun PAS adalah merupakan fraksi paling kecil dalam Pakatan Rakyat di negeri itu.



Tentu, sekiranya Naib Presiden PKR dan bekas Setiausaha Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Saudara Mustafa Kamil Ayub menang kerusi DUN N48 Sungai Manik, Menteri Besar Perak hari ini bukanlah Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.



Usah terkejut sekiranya selepas ini ada beberapa orang lagi ADUN UMNO melompat ke PKR (bukan PAS). Proses ini juga adalah satu cara singkat untuk meningkatkan kualiti ADUN PKR di Perak. Strategi "reverse takeover" ini adalah satu pendekatan yang cukup strategik untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim menguasai wakil rakyat UMNO tanpa beliau perlu menyertai UMNO.



ADUN UMNO lebih mudah diserapkan dalam PKR berbanding PAS kerana budaya parti itu hampir sama dengan UMNO. Lagi pun, sebahagian besar pemimpin PKR sekarang adalah teman-teman lama mereka dalam UMNO dulu. Saya cukup yakin sekiranya Anwar berjaya menarik sejumlah ADUN UMNO yang cukup menyertai PKR, beliau akan melakukan gerakan untuk ADUN-ADUN UMNO tersebut mengambilalih jawatan Menteri Besar Perak.



Inilah strategi yang digunakan oleh Anwar ketika beliau dalam UMNO dulu dan strategi yang sama akan digunakan lagi. Sekiranya Anwar berjaya melakukan "reverse takeover" ini, ia akan mencuri tumpuan rakyat daripada peralihan kuasa antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Najib Tun Razak kepada kemampuan Anwar menukar Menteri Besar Perak dan "menawan" UMNO melalui proses tersebut.



Anwar Ibrahim yang saya kenali adalah seorang strategis dan hebat dalam permainan "politics of deception". Dan saya cukup yakin dia akan memanfaatkan kelebihan itu untuk "menguasai" UMNO melalui "reverse takeover", walaupun dalam proses itu dia terpaksa meletakkan rakan kongsinya PAS dalam keadaan yang cukup tertekan!

Sunday, January 11, 2009

BLOG MAHATHIR UNTUNGKAN PAKATAN RAKYAT - THE MALAYSIAN INSIDERS

JAN 12 — Sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu, musuh politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencatatkan dalam blognya mengenai apa yang dianggap sebagai punca kekalahan Barisan Nasional.

Terjahannya jelas; yang bersalah adalah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan budaya bongkak dalam Umno.

“Umno perlu ingat undi daripada ahli-ahli setianya sahaja tidak mencukupi untuk mendapat kemenangan. Untuk menang calon Umno perlu undi orang bukan ahli parti dan orang Cina dan India.

“Dalam keadaan sekarang, dalam keadaan Umno dan Kerajaan dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah tidak mungkin orang bukan daripada parti Umno dan orang Cina dan India akan beri kemenangan kepada calon Umno atau Barisan Nasional. Bahkan ahli-ahli Umno yang kecewa dengan pimpinan Dato Seri Abdullah pun tidak akan undi Umno dan Barisan Nasional.
“Dengarlah, lihatlah apa yang dipertunjukkan oleh pengundi Permatang Pauh. Mereka tidak undi untuk Datuk Seri Anwar dan PKR. Mereka undi untuk mengalahkankan Barisan Nasional dan Umno.”

Kini BN sekali lagi berdepan dengan pilihan raya kecil. Kali ini PRK Kuala Terengganu yang memang tidak akan mencetuskan perubahan politik negara tetapi mencabar maruah dan wibawa BN dan Pakatan Rakyat.

Calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Salleh berentap dengan calon Pas Abdul Wahid Endut yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Calon bebas adalah Azharudin Mamat @ Adam.

Sekali lagi Dr Mahathir mencatatkan rasa hatinya. Dalam catatannya pada 8 Januari lalu, bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa Pas bukan parti yang berprinsip dan tidak ikhlas memperjuangkan Islam.

Kecaman beliau terhadap Pas diimbangkan dengan hentaman terhadap Umno-BN. "Umno pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon Umno tidak memperdulikan sentimen rakyat. Dan calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang.
“Dalam pilihan raya kecil ini pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema. Pas pun bukan pilihan yang baik, Umno pun bukan pilihan yang baik. Telan mati Mak, luah mati Pak. Mungkin calon bebas akan dapat undi yang lebih dari sepatutnya.”

Abdullah menjawab kritikan Dr Mahathir: “Yang peliknya, yang lebih-lebih mengata adalah orang kita, bukan daripada orang pembangkang. Kita perlu pertahankan calon kita.”

Ketua kempen BN di Terengganu Datuk Seri Najib Razak juga mempertahankan bossnya dan calon parti. “Ada orang kata Wan Farid orang Pak Lah. Dia tidak ada orang siapa-siapa. Sebab Perdana Menteri dan saya bersama-sama memilih beliau.

“Tak kan kita hendak buang anak tempatan dan Timbalan Menteri. Beliau juga ada kelulusan LLB ,” katanya merujuk kepada Wan Ahmad Farid yang baru-baru ini meletak jawatan sebagai Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk bertanding dalam PRK Kuala Terengganu.
Untuk menganggap suara Dr Mahathir sudah dikunci adalah jenaka yang tidak begitu lucu. Kemungkinan besar kritikan yang lebih tajam dan bisa dari tokoh Umno yang sudah pun keluar parti tahun lalu akan dicatatkan lagi dalam blognya yang begitu popular di alam maya.
Malah, akhir tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu juga mengemukakan pandangannya terhadap Umno yang dituduhnya belum sedar akan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu.

Dalam tulisannya pada 14 November lalu, beliau mencatatkan: “Jika Umno pimpinan Datuk Seri Najib ingin diterima dan disokong oleh rakyat sebagai pengundi, ingin memperolehi kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 13 maka rasuah dalam parti hendaklah dihapuskan. Usaha ini bukanlah mudah tetapi suka atau tidak suka Najib dan pasukannya perlu berusaha sedaya upaya.

“Jika tidak, pengundi akan undi siapa sahaja yang menyogok wang kepada mereka dan ini termasuk parti lawan. Umno dan BN mungkin tidak akan dapat memerintah negara ini lagi. Kita sekarang sedang diberi ‘preview’ jenis pemerintahan yang akan didirikan oleh parti-parti lawan.”

Mungkin Najib sedar masalah yang dibangkitkan itu tetapi persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin Umno lain turut berkongsi hiba masalah parti?

Agak menyedihkan bagi Umno apabila Najib, sewaktu memberi pep talk kepada jentera parti di Kuala Terengganu baru-baru ini terpaksa mengajar semula kursus asas kempen politik, yang antaranya Timbalan Presiden Umno itu dipetik sebagai berkata:

“Kalau salam, tengok muka. Sebab itu saya ingatkan calon kita supaya kalau bersalam bukan hanya di depan pintu, tetapi kalau ada orang dalam rumah dan di dapur, salam semua. Biar pun dia kena salam sehingga 200,000 orang, asalkan kita menang. Ini bukan adab orang bandar, orang elit tetapi adab orang kampung. Itu cara kita berkempen.

“Jangan berlagak naik kereta mewah dan jangan berlebihan. Pegang kepada satu prinsip bahawa kita hamba kepada rakyat, itulah anak kunci kepada kejayaan BN. Saya minta pemimpin yang turun padang supaya mesra rakyat”.

Dr Mahathir dikatakan banyak memberi saham kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu, dan sekali lagi dalam PRK Permatang Pauh. Nadanya kali ini turut menuju ke arah yang sama.

Jika orang Umno yang kritikal terhadap kepimpinan parti masa kini tetap tidak mahu mengundi Pas, hujah Dr Mahathir mungkin menjadi alasan mereka untuk menjunamkan undi BN dalam PRK kali ini.

Sehingga Najib terpaksa mengulangi mentera bahawa “Kuala Terengganu bukanlah Permatang Pauh dan kita tak kan benarkan sama sekali sejarah itu berulang lagi di sini.”

Masalahnya, jika hujah Dr Mahathir bertubi-tubi mengetuk benak ahli-ahli Umno serta pengundi atas pagar di Kuala Terengganu, bayangan Permatang Pauh akan terus menghantui bakal Perdana Menteri itu sepanjang kempen hingga hari pengundian pada 17 Jan ini.
Malah, lebih memeningkan Najib adalah dakwaan Dr Mahathir bahawa “setiap orang akan melihatnya (Wan Ahmad Farid) sebagai hanya seorang proksi; seseorang yang boleh dipergunakan kemudian jika Najib menjadi Perdana Menteri”.

Di negeri di mana pemimpin Terengganu bukan pilihan Abdullah, dan kemelut perpecahan di antara kumpulan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh belum selesai sejak tahun lalu, dan di mana Wan Ahmad Farid dituduh sebagai “elit” yang tidak mesra rakyat, ia adalah beban besar buat Najib dan jentera pilihan raya Umno untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Malah, apabila Dr Mahathir menyatakan PRK ini “sepatutnya tidak dianggap penting. Samada Barisan Nasional menang atau kalah kerajaan Terengganu tak akan berubah. Pada pandangan saya Pas atau Umno pada waktu ini sama sahaja”, ia seolah-olah memberi isyarat kepada pengundi Terengganu, khususnya dari kalangan penyokong BN, untuk tidak keluar mengundi atau lebih dari itu, bebas untuk mengundi Pas.

WAN HAMIDI

PALESTINE : ANTARA EMOSI & REALITI oleh A.Kadir Jasin

RAMAI daripada kita sudah bersembahyang hajat, menunjuk perasaan, menderma, menulis puisi dan membuat deklarasi.Semuanya atas nama kemanusiaan dan simpati dengan rakyat Palestin yang dibom, ditembak dan diletupkan. Berlinang dan bercurahanlah air mata kita.

Jadi pastinyalah kita marah kalau saya unjurkan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan sia-sia, perjuangan yang kecewa dan perjuangan yang penuh pura-pura.Pedih dan menyakitkan hati. Tetapi itulah realitinya sejak penubuhan negara Israel – Medinat Yisra’el – melalui rampasan ke atas British Mandated Palestine oleh pengganas Yahudi pada 14 Mei, 1948.

Sejak itu jugalah jentera propaganda dan peperangan Yahudi bekerja lebih masa mencuba menghalalkan rampasan mereka ke atas Palestin.Pada mulanya mereka mendakwa kononnya mereka membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Inggeris dan Liga Bangsa-Bangsa.

Izinkan saya sedikit ruang dan masa untuk mengemukakan fakta-fakta berikut untuk pertimbangan pembaca sekalian:

1. Negara-Negara Arab yang berjiran dengan Israel serta merta melanggar negara itu dan mengulanginya beberapa kali dengan mengalami kekalahan teruk;

2. Akhirnya semakin banyak negara Arab sama ada mengiktiraf Israel dan menandatangani perjanjian damai dengannya atau tidak lagi memberi keutamaan kepada isu Palestin;

3. Melalui perang psikologi, Israel dan penyokong Yahudinya dari seluruh dunia menyusup masuk dan menguasai politik, ekonomi serta media massa Amerika Syarikat (AS);

4. Israel dan gerakan Yahudi antarabangsa berjaya menjadikan Amerika boneka, pelindung dan pembiayanya;

5. Menurut John J. Mearsheimer dan Stephen M. Waltdalam tulisan mereka berjudul “The Israel Lobby and U. S. Foreign Policy” (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika Syarikat), Israel menerima bantuan langsung bernilai AS$3 bilion (RM10.62 bilion) setiap tahun atau 20 peratus daripada bantuan luar AS;

6. Setiap orang penduduk Israel menerima subsidi daripada AS bernilai AS$500 (RM1,770) setahun walaupun Israel adalah negara perindustrian yang sama pendapatan per kapitanya dengan Korea Selatan dan Sepanyol;

7. Menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika, bantuan kepada Israel bagi tahun 2007 berjumlah tidak kurang daripada AS$2.5 bilion (RM8.85 bilion). Ini tidak termasuk AS$138 juta (488.5 juta) bagi projek pertahanan bersama peluru berpandu dan jaminan hutang sebanyak AS$$1.4 bilion (RM4.95 bilion);

8. Purata AS memberikan AS$6.8 juta (RM24 juta) kepada Israel setiap hari berbanding AS$300,000 (RM1.06 juta) kepada Palestin pada tahun 2007;

9. Janji Amerika membantu Palestin adalah janji kosong sejak daripada tertubuhnya Medinat Yisra’el pada tahun 1948;

10. President Truman dalam ucapannya pada 28 Oktober, 1948 – lima bulan selepas rampasan bumi Palestin oleh Yahudi -- antara lain, berkata: “Adalah tanggungjawab saya memastikan dasar kita di Israel menepati dasar kita di seluruh dunia; kedua adalah hasrat saya membantu membina negara Palestin yang kuat, makmur, bebas, merdeka dan demokratik. Ia perlu cukup luas, cukup bebas dan cukup kuat untuk membolehkan rakyatnya berdikari dan selamat.”[ “It is my responsibility to see that our policy in Israel fits in with our policy throughout the world; second, it is my desire to help build in Palestine a strong, prosperous, free and independent democratic state. It must be large enough, free enough, and strong enough to make its people self-supporting and secure.”

11. Dan bolehkah Barack Obama diharap untuk mengatasi pembohongan AS selama ini? Pertimbangkan kenyataan beliau ketika kempen pilihan raya Presiden baru lalu yang berbunyi: “Kita jangan sekali-kali mencuba mengatakan apa yang terbaik untuk orang Israel dan keselamatan mereka dan tidak seorang pun Perdana Menteri Israel yang patut diseret ke meja perundingan...”[We should never seek to dictate what is best for the Israelis and their security interests" and that no Israeli prime minister should ever feel "dragged" to the negotiating table...];

12. Yahudi mempunyai perwakilan yang kuat dalam politik nasional AS. Pada bulan Jun tahun lalu (2008), 7.8 peratus Ahli Kongres adalah Yahudi walaupun penganut agama Yahudi di AS dianggarkan hanya 1.4 peratus daripada penduduknya;

13. Kalau AS menjadi boneka, pelindung dan pembiaya Israel, banyak negara Islam, khasnya negara-negara Arab, menjadi boneka dan pak turut AS;

14. Dari mula lagi banyak negara Arab tidak mahu Hamas berjaya di Palestin. Hamas adalah singkatan kepada Harakat al-Muqāwamat al-Islāmiyyah atau Pergerakan Penentangan Islam yang terdiri daripada pengikut Sunnah. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmed Yassin, Abdel Aziz al-Rantisi dan Mohammad Taha yang berupa penggiat Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin pada permulaan gerakan Intifadah pertama;

15. Oleh sebab Hamas diasaskan atas landasan Ikhwanul Muslimin maka ia dicurigai dan ditolak oleh banyak negara Arab. Ikhwanul Muslimin diharamkan atau dikawal kegiatannya di banyak negara Arab;

16. Ikhwanul Muslimin atau Persaudaraan Muslim adalah organisasi Muslim yang diasaskan oleh Hassan al Banna di Mesir pada tahun 1928 berikutan keruntuhan Empayar Ottoman;

17. Pada mulanya Ikhwanul Muslimin menyokong kerajaan sekular Presiden Gamal Abdel Nasser tetapi apabila seorang anggotanya dituduh membunuh Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi Nokrashi, pada 28 Dis. 1948, pertubuhan itu diharamkan dan Al Banna sendiri dibubuh oleh agen-agen perisik kerajaan pada bulan Februari tahun berikutnya;

18. Majoriti negara-negara Arab tidak demokratik. Mereka bimbang jika kerajaan Hamas berjaya di Palestin mereka akan menghadapi tekanan daripada rakyat jelata mereka sendiri agar memperkenalkan demokrasi;

19. Negara-negara Arab sendiri terus bercakaran dan serentak itu menjadi tali barut kepada hegemoni AS di Asia Barat seperti yang terserlah dengan sokongan mereka terhadap serangan dan penaklukan AS ke atas Iraq;

20. Akhir sekali, politik Palestin sendiri kucar-kacir akibat ketidaksepaduan sokongan negara-negara Arab dan persengketaan di kalangan pelbagai kelompok agama di Asia Barat, khasnya pergeseran antara pengikut Sunnah dan Syiah.Bukan tujuan saya melemahkan semangat juang, sokongan dan simpati kita kepada rakyat Palestin.

Tetapi fakta-fakta di atas tidak memberikan keyakinan bahawa masalah negara dan rakyat Palestin boleh diselesaikan dengan mudah dan segera.Untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata pun susah. Bayangkan untuk mencapai keamanan yang berkekalan.Malah, setiap kali bom Israel membunuh orang Palestin dan pengebom berani mati Hamas membunuh orang Yahudi, setiap kali itu jugalah satu generasi baru pejuang di lahirkan.


Posted by A KADIR JASIN