Search This Blog

Tuesday, December 16, 2008

GURU UMPAMA PERMATA NILAM :- A.KADIR JASIN

PANTUN lama kegemaran saya berbunyi:

Pergi memburu di padang datar,Dapat rusa belang kaki;Kalau berguru kepalang ajar,Ibarat bunga kembang tak jadi.Berguru adalah segala-galanya.
Betul berguru jadi pendeta. Silap berguna tidak kenal bahasa.Atau dalam bahasa basahan orang Utara, boleh gila isin – bukan sekadar gila, tetapi gila campur “insane”.

Saya sangat bernasib baik. Guru-guru saya baik-baik belaka. Selain ibu dan bapa saya, merekalah yang membuatkan saya berada di mana saya kini berada.

Sabtu lalu, 13 Disember, saya dan beberapa orang kawan dari Sekolah Menengah Saint Michael, Alor Star – sekolah kelas dua – menyertai sekumpulan penghayat meraikan seorang guru kami yang sangat berjasa.

Namanya Dato’ Dr Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof, guru bahasa dan kesusasteraan Melayu yang “forte”nya adalah sejarah, khasnya sejarah Negeri Kedah dan wilayah-wilayah Islam di persekitarannya.

Dia adalah Tokoh Guru Kedah (1993), Tokoh Guru Kebangsaan (1994) dan Tokoh Guru Suluh Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002).

Kali ini kami berkumpul di Auditorium Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah bagi meraikan satu lagi anugerah yang dilimpahkan kepadanya.

Pada 18 Oktober lalu, dia dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sejarah) oleh Universiti Utara Malaysia sebagai mengiktiraf pembabitan beliau dalam bidang pendidikan, sejarah, sastera dan budaya.

Seperti kata Prof. Madya Mohd Isa Othman, pensyarah sejarah politik, Pusat Pengajian Jauh, Universiti Sains Malaysia, ramai orang boleh belajar untuk mendapat ijazah doktor falsafah, tetapi doktor kehormat falsafah adalah pengiktirafan sesebuah universiti dan komunitinya terhadap pencapaian dan sumbangan seumur hidup seorang tokoh ilmu.

Maka dalam semangat itulah kami meraikan seorang insan, yang tanpa mengira gelaran dan anugerah yang diperolehnya, tetap Cikgu Wan kepada kami.

Itulah Wan Shamsudin yang kami kenali mulai tahun 1962 di sekolah “kelas dua” Saint Micheal yang terhimpit di antara Gereja Katholik dan paya nipah di Jalan Langgar.

Dia berbasikal ke sekolah, belajar sendiri untuk mengambil sijil HSC dan pada usia 41, masuk Universiti Malaya.

Dan dialah yang “memaksa” saya mewakili darjah dalam pertandingan pidato pelajar Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1965 dan 1966 sehingga berjaya mendapat tempat ketiga di peringkat nasional di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Saya bernasib baik kerana bukan Cikgu Wan seorang sahaja yang memberi lebih daripada yang dituntut ke atas seorang guru kepada muridnya. Ramai lagi guru penyuluh budi dan iman yang mengilap batu menjadi permata.

Antaranya Cikgu (Dato’) Shaari Abu Bakar, guru besar sekolah Melayu Pendang yang memberi kelas tambahan dan membawa saya dua tahun berturut-turut (1957 dan 1958) untuk mengambil peperiksaan Special Malay Class Entrance Examination.

Master Syed Salim, guru darjah dan guru bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Saint Michael yang mengenakan denda duit kalau kami bercakap lain dari bahasa Inggeris –maksudnya bahasa Melayu dan Siam kerana ramai budak-budak Melayu dari pedalaman waktu itu boleh berbahasa Siam.

Mr Kang yang mengajar kami erti kesihatan seperti menggosok gigi, memotong kuku dan menghantar kami ke klinik kerana dijangkiti kutu kepala atau bercacing di dalam perut selaku guru “hai jin!” (hygiene atau kesihatan).

Sebagai budak kampung dan anak rakyat biasa, kami mengalami pelbagai penyakit akibat kurang kebersihan seperti kudis buta, batuk dan berhingus, telinga bernanah, panau, kurap, bisul dan ketuat.

Mr Charles Alexander Westwood, seorang jurutera kereta api (locomotive engineer) yang bertukar kerjaya dan akhirnya menjadi guru besar Sekolah Menengah Saint Michael. Dia mengajar kami erti muhibah dan setia kawan.

Kalau tiada wang saku, dia mengeluarkan wang daripada koceknya sendiri. Kalau kena serangan malaria dan terketar-ketar, dia meminjamkan kotnya dan kalau ibu bapa kesuntukan wang, dia menangguhkan bayaran yuran RM15 sebulan.

Dia begitu kagum dengan kejayaan murid-muridnya dalam pertandingan dan kegiatan Bulan Bahasa Kebangsaan sehingga bersetuju namanya “dibahasa-Melayukan” menjadi Salleh Iskandar Kayubarat – terjemahan literal Charles Alexander Westwood.

Begitu taasub dia dengan nama itu sehingga dia menamakan rumahnya yang diperbuat daripada kayu di Jalan Telok Wan Jah sebagai “Kayubarat”.

Cikgu Zainal Abidin Ismail, guru LI (Language Institute) yang mengajar bahasa Melayu menggunakan loghat Johor kerana mahu mempamerkan hakikat bahawa dia lulus Institut Bahasa di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Dia juga mengajar kami di sebalik kehidupan – bagaimana bercinta, berpuisi dan seloka, menurun nombor ekor dan berangan-angan mengenai skim cepat kaya, membeli nombor ekor di Stesen Bas Jalan Langgar, mencari minyak pengasih dan bercita-cita menjadi orang berjaya dan orang kaya.

(Kebetulan, salah seorang bekas murid Sekolah Menengah Saint Michael adalah jutawan dan dermawan Syed Mokhtar Albukhary.)

Tetapi hati kecilnya mulia. Wang ringgit langsung tidak kira. Rumahnya di Pantai Johor menjadi tempat kami makan, belajar dan bersuka ria. Kereta Volkswagen Beetlenya macam milik kami juga.

Mr Chin Chow Kee yang tidak putus asa mencuba menjadikan setiap kami budak-budak desa seorang “mathematician” walaupun kami buta angka, buka kalkulus dan buta Algebra.

Mr Dorairatnam aka Mohd Yusof Abdullah yang mempertajamkan penguasaan bahasa Inggeris kami dengan menggunakan kaedah luar biasa, termasuk rayuan dan tangisan antara sedar dan tidak sedar akibat terlebih minum “air anggur peram.”

Ustaz Ahmad Saad yang mengajar kami erti iman, ketuhanan dan kelurusan. Dialah manifestasi ungkapan “betul bendul” – begitu lurus sehingga dari masa ke semasa kami mengambil kesempatan meminta wang kocek daripadanya selain meminjam motor skuternya jenis Vespa.

Dan tidak boleh dilupakan Brother Supervisor, Bro. Brenden wakil Gereja Roman Katolik yang menjadi pengasas dan pemilik sekolah kami.

Dialah mengajar kami erti autoriti (kuasa), disiplin, peraturan dan hukuman. Majoriti kami merasa sakitnya dirotan oleh beliau kerana pelbagai kesalahan daripada gagal ujian akademik tiga kali berturut-turut atau bertumbuk dengan pengawas.

Pendidik seperti inilah – antara kesempurnaan dan kecacatan watak, antara menjadi pendidik dan manusia biasa – memberikan kami bukan sekadar ilmu, tetapi pengetahuan, pengalaman dan suntikan semangat yang tidak wujud dalam manual perguruan.

Kepada mereka, kami terhutang budi sampai mati. Kerana merekalah kami boleh berdiri di sini. Moga-moga sumbangan bakti mereka diredai Ilahi dan diteladani para guru generasi ke generasi.

Sebagai bapa, saya terhutang budi kepada guru-guru yang mengajar anak-anak saya (lima semuanya) di atas dedikasi dan simpati mereka.

Nota Kaki: Blogger Che Det (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan menandatangani buku Blogging To Unblock di MPH, Midvalley jam 3.30 petang, Khamis 18 Disember. Peminat buku dijemput.

Posted by A KADIR JASIN at 12:03 PM 13 comments

No comments: