Search This Blog

Tuesday, March 24, 2009

MENANGKIS LOGIK POLITIK TUN MAHATHIR by Ti Lian Ker


Berikut adalah hujah-hujah Tun yang ingin saya tangkis supaya Pemimpin sekarang tidak menerima segala padah perbuatan ataupun kegaggalan yang lampau...

PEMILIHAN MAJLIS TERTINGGI UMNO
By Dr. Mahathir Mohamad on March 21, 2009 3:00 PM

1. Perhatian rakyat Malaysia terutama orang Melayu ialah kepada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku dalam UMNO. Samada mereka ahli atau bukan ahli mereka tahu UMNO memainkan peranan yang besar dalam kehidupan mereka, dalam maju mundurnya Negara mereka.
2. Apa yang mereka lihat sehingga kini tidak menyenangkan hati mereka akan keupayaan UMNO dikekalkan.
( tilianker: Kegaggalan UMNO sekarang telah bermula dalam zaman Tun memimpin Negara di mana arus pertama membantah kepimpinan Tun telah dipelopori oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertengahan tahun 80an. Ini telah disusuli dengan arus kebangkitan mencabar kepimpinan UMNO yang kedua dalam akhiran tahun 90an. Kebangkitan mencabar kepimpinan UMNO mutakhir ini adalah arus pemberontakan yang ketiga dan melibatkan Parti Pembangkang dan semua lapisan rakyat. Maka adalah tidak adil meletakkan segala kelemahan dan kesalahan UMNO pada bahu pemimpin sekarang atau akan datang. Isunya ialah banyak isu semasa ini adalah masalah lapuk atau masalah larutan dari zaman Tun. Tun's legacy?? )
3. UMNO yang telah perintah Negara ini dengan baik selama 50 tahun sekarang dilihat sebagai parti yang tidak bermaya.
(tilianker: UMNO sudahlah tidak bermaya dalam pemilihan umum 1999 di mana ramai ahli UMNo ternganga apabila Tun memecat DSAI dan menghadapkannya ke mahkamah dengan tuduhan rasuah dan meliwat.Populariti Tun adalah pada tahap yang paling rendah paada masa itu dan Tun dipangil Mahazalim.. Pada masa itu undi masyarakat Cina yang kukuh telah membolehkan kemenangan BN dengan kerusi melebihi 2/3 tetapi kemenangan undi kebanyakkan kerusi adalah amat tipis sekali termasuk Parlimen Pekan yang ditandingi oleh YAB bakal Perdana Menteri .)

4. Dalam hanya lima tahun dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti UMNO sudah rosak dan menjadi amat lemah. Seiring dengan kelemahan parti, Kerajaan juga menjadi lemah dan kehidupan rakyat sudah tidak lagi sempurna.
(tilianker: Dalam tahun-tahun awalan kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi,rakyat telah memberi mandat yang kukuh dan tidak berbelah-bahagi kepada BN sehingga Tun mencampuri dan mengusik kepimpinan BN dengan kecaman yang pedas dan pedih sekali walaupun Tun pernah berjanji tidak akan melibatkan-diri apabila bersara nanti. Kelemahan parti adalah disebabkan oleh pembelotan seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Ini telah bertambah tenat apabila seorang lagi bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO memberanikan Parti Pembangkang dan rakyat jelata untuk mencabar institusi, norma dan tradisi. Ini termasuklah saranan mengurangkan majoriti BN dalam Parlimen untuk menguatkan Pembangkang. Tetapi nampaknya Pembangkang bukannya mahu kekuatan tetapi membentuk Kerajaan. Inilah yang menyebabkan rakyat dibelenggukan. Gajah sama Gajah bertempur, Kancil mati tengah-tengah.Kehidupan rakyat tidak lagi sempurna disebabkan oleh perkembangan ekonomi dunia dan bebanan serta tanggungan kerajaan pada keputusan-keputusan lampau seperti toll, PPA , IPP dsbgnya. Rakyat seronok semasa pembangunan infrastrutur yang di bawa zaman Tun tetapi belenggu,kos dan tanggungan kontrak Kerajaan cuma dirasai sekarang.)
5. Sekarang Abdullah berjanji akan letak jawatan pada hujung bulan ini dan Dato Seri Najib Razak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Apakah Najib akan dapat memulihkan UMNO sehingga jadi kuat semula? Ini menjadi satu tanda tanya.
(tilianker: Keupayaan Dato Seri Najib untuk memulihkan UMNO terpulang kepada keupayaan UMNO untuk mengubah dan menyakinkan rakyat bahawasanya UMNO bukanlah satu parti yang mempunyai bau perkauman yang tebal, mempunyai budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua dan bukannya meletakkan babanan pada bahu Dato Seri Najib seorang. Collective dan bukannya individual responsibility! Saya ingat lagi hujah Tun semasa menjadi PM bahawasanya jangan memberi satu penyelesaian simple kepada satu isu komplicated yakni Do not prescribe a simple solution to a complicated problem.)
6. Apa yang berlaku dalam proses pemilihan kepimpinan tidak menjadi petanda yang baik. Parti UMNO sudah jadi parti perasuah. Samada ahli atau pemimpin, semuanya utamakan kepentingan diri.
(tilianker: Budaya rasuah dan mementingkan diri telah lama bertapak dan dibenihkan dalam era pemerintahan Tun. Tun yang pada masa itu begitu berwibawa, berkuasa dan berupaya telah gagal menanggani gejala-gejala ini. Bak kata pepatah Melayu " Melentur biarlah waktu rebungnya". Maka kegagalan Tun adalah amat ketara sekali.)
7. Sepatutnya pemilihan pemimpin yang baru akan meyakinkan rakyat yang UMNO bersedia untuk membasmi gejala rasuah. Tetapi yang berlaku menunjuk yang UMNO tidak mempedulikan pemulihan parti dan pencapaian kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13. Yang diutamakan ialah untuk menjadi pemimpin UMNO dengan apa cara sekalipun. Harapan mereka jika jadi pemimpin UMNO akan dapat jadi Menteri dan dapat kontrak dan lain-lain nikmat untuk diri sendiri.
(tilianker: Kita perlulah berlaku adil dan mengakui bahawa tindakan pemimpin UMNO pada masa ini adalah tindakan yang paling tegas dalam menanggani gejala rasuah. Fenomena dapatkan kontrak dan nikmat telah bermula dalam zaman Tun dan diberhentikan atau dikurangkan secara beransur dalam era kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini adalah antara sebab ramai orang UMNO menentang Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah mengurangkan kepentingan individu demi menjaga kepentingan negara. Sebenarnya kita telah mengubah dan berubah tetapi oleh kerana kritikan dan tohmahan yang bertalu-talu dari semua, maka bermulalah keretakan dan pemecahan kekebalan institusi dan kepimpinan BN.)
8. Ternampak jelas yang pencalonan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang dibuat oleh bahagian adalah hasil sogokan. Ramai yang dicalon diketahui umum telah beli undi. Dengan itu peluang pertama untuk memulih imej parti dikalangan rakyat sudah gagal kerana bahagian-bahagian utamakan sogokan. Peluang kedua untuk memulih imej parti juga tidak direbut. Sebenarnya Lembaga Disiplin dan Tribunal yang ditugas untuk membicara dan menghukum calon-calon yang dituduh terlibat dengan rasuah telah tidak menggunakan tugas mereka untuk memperbaiki imej parti. Sebaliknya Tribunal membuat keputusan yang menunjuk ia tidak bersungguh untuk menghukum mereka yang diketahui terlibat dengan rasuah. Dengan itu imej parti tidak terpulih dan menjadi lebih buruk.
( tilianker: Dalam kes-kes Mahkamahpun banyak kes yang melibatkan fakta berbeza telah mendapat keputusan dan hukuman yang berbeda walaupun tuduhan yang sama. Istilah falsafah perundangan atau jurisprudence ialah rule skeptics as opposed to fact sceptics. Memperbesarkan perbedaan ini semata-mata untuk mencabar dan mengaibkan UMNO adalah kerja-kerja musuh UMNo yang sebenar. Yang pentingnya tindakan yang tegas telah diambil dan akar-umbi mendapat syarat bahawasanya era politik wang yang bermula dalam zaman Tun sudah mula berakhir....)
9. Sekarang datang pula peranan para wakil untuk memulih imej parti dengan menolak calon yang dikenali mengguna wang untuk undi calon. Jika mereka tolak calon-calon ini, mereka akan sedikit sebanyak memulih imej parti dan kemungkinan parti akan menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.
10. Tetapi oleh kerana keputusan Tribunal membolehkan calon-calon yang diketahui korup bertanding, perwakilan mungkin akan pilih mereka ini untuk menganggotai Majlis Tertinggi. Apabila ini berlaku imej parti akan jadi lebih buruk dan besar kemungkinan parti akan dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-13.
(tilianker: Calon yang korup bertanding bukanlah berlaku pada masa ini sahaja. Pernahkah Datuk Harun Idris dibebaskan dan memenangi jawatan tinggi dalam UMNO? )
11. Tetapi terdapat satu lagi peluang untuk imej parti dipulih. Apabila Kerajaan baru dibentuk oleh Dato Seri Najib, beliau boleh menolak pemimpin-pemimpin yang menang kerana rasuah daripada menganggotai Kabinet dan lain-lain jawatan Kerajaan pimpinannya. Jika sebaliknya Najib melantik orang yang diketahui menang kerana rasuah ke dalam Kerajaannya maka akan termusnahlah kepercayaan rakyat kepada Najib dan Kerajaannya. Tidak syak lagi yang UMNO dan Barisan Nasional akan kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13.
(tilianker: Kita perlulah memberi Dato Seri Najib hemah dan hikmah kebijaksanaan seorang pemimpin yang tinggi dan disanjungi dan bukannya mempertikaikan dan mempersoalkan serta membayangkan bahawasanya beliau mungkin melantik orang yang sedemikian atau mungkin kurang kewibawaannya.)
12. Saya percaya Dato Seri Abdullah akan paksa Najib pilih orang tertentu untuk jadi Menteri Kabinet Najib. Kita tahu sangat keinginan orang ini menjadi Perdana Menteri termuda. Sebenarnya kalau pun dia menang, penyertaannya dalam Kerajaan akan menyebabkan pengundi tolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13. Apatah lagi jika dia kalah dan masih lagi dapat tempat dalam Kerajaan.
(tilianker: Adakah paksaan ini dilakukan oleh Tun pada Dato Seri Abdullah sebelum ini ? Bukankah Tun yang begitu lantang sekali menghendaki Dato Seri Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri? )
13. Jika Dato Seri Najib memilih perasuah dan orang tertentu dalam Kerajaan pimpinannya, UMNO akan kalah dan terus hancur. Najib akan tinggal legasi sebagai pembunuh UMNO yang dihidupkan oleh ayahnya.
(tilianker: Nampaknya Tun lebih berminat agar individu tertentu tidak dilantik dalam Kabinet. Adakah Tun mempunyai senarai hitam tertentu? Adakah elemen arm-twisting di sini? Tun seakan-akan nostalgia, menghendaki UMNO kembali kepada zaman keangkuhannya yang mana rakyat mahupun ahli UMNO telah menolak keangkuhan kuasa dan amalan authoritative zaman Tun dan kini menuntut ketelusan dan keadilan . )
14. Ahli-ahli UMNO harus ingat tidak ada gunanya menjadi pemimpin UMNO, menjadi Presiden UMNO pun jika BN kalah dan tidak dapat tubuh Kerajaan.15. Orang Melayu akan kutuk mereka yang telah hancurkan UMNO kerana mereka tamak dan mengkhianati bangsa dan negara.
(tilianker: Negara kita sudah bergerak ke arah perjuangan dan kenegaraan dan kemasyarakatan dan kemanusiaan. Tun masih lagi dengan keMelayuan yang secara intrinsiknya adalah tertakluk kepada pembangunan Negara, Sosial dan Insan...)
Saya akhiri dengan menyusun jari sepuluh memohon maaf sekiranya tersasul di sini tetapi saya terasa terpanggil untuk menangkis hujah-hujah Tun yang telah menjadi satu pemangkin yang membangkitkan kemarahan dan seterusnya pencabaran terhadap regim dan kepimpinan pemerintahan di masa ini.Yang baik kita terima tetapi yang keruh biarlah dijernihkan....Sama-sama kita ketepikan ego demi negara, bangsa dan agama!rhetorik...logik atau politik!

Posted by Ti Lian Ker at 2:00 AM

No comments: