Search This Blog

Friday, November 20, 2009

CHANGELING : A Real True Story

Ulasan Faisal Tehrani.......Korupsi

SEBUAH kisah benar lakonan Angelina Jolie & John Markovitch.10 Mac 1928 apabila Christine bangun pagi dengan janji untuk membawa anaknya menonton filem, dia menerima panggilan untuk menggantikan tempat seorang rakan sekerja yang sedang sakit. Meski hari tersebut adalah hari cutinya, Christine berlepas ke tempat kerja sebagai seorang ketua operator penuh dedikasi, dan pulang dalam keadaan lewat. Dia mendapati Walter, buah hatinya tidak ada di rumah seperti biasa. Malah tiada di mana-mana. Walter Collins segera dilaporkan sebagai kanak-kanak hilang. Maka bermulalah penderitaan seorang ibu yang menanti sesuatu yang tidak kunjung tiba.

Filem arahan Clint Eastwood ini tidak terlalu berminat menyelami perasaan Christine sebagai seorang ibu yang penuh emosi meskipun Angelina Jolie yang memeran watak Christine dengan penuh luar biasa sekali melakonkan watak seorang ibu yang tertekan jiwa seraya berdepan dengan trauma kehilangan anak lelakinya.

Fokus utama Changeling jauh lebih bersifat politik. Ia bercita-cita besar untuk membongkar korupsi pihak berkuasa Los Angelas pada waktu itu.Kehebatan Changeling terletak pada tiga lapis tema yang berselirat.

Pertama, kisah kehancuran hati seorang ibu mendepani realiti kehilangan anaknya.

Kedua, sebuah filem tentang kejahatan pihak berkuasa polis Los Angelas yang bukan menangkap penjenayah tetapi sebaliknya melindungi penjenayah.

Ketiga, kisah suspen bagaimana pembunuh bersiri kanak-kanak yang dipercayai menculik Walter dihadapkan ke muka pengadilan lalu menerima hukuman gantung sampai mati.

Changeling yang terbit tahun 2008, menyorot seorang ibu yang lurus dan naif. Sebagai warga kota yang jujur dan baik, Christine mempercayai sepenuh hatinya bahawa pihak polis sedang dan akan melakukan yang terbaik untuk mencari anaknya yang hilang.

Tetapi Christine tersilap. Pihak polis sedang mendapat keuntungan dengan berlagak sebagai polis. Kuasa yang ada di tangan polis membolehkan mereka melakukan apa sahaja terhadap sesiapa sahaja.

Di Los Angelas waktu itu, polis adalah raja sarang pelacuran, raja penyeludupan senjata, raja samseng dan pembunuhan malah raja sekian banyak sindiket.Plot berubah menjadi bahagian yang paling menakutkan. Walter Collins dipulangkan.

Tetapi igauan buruk yang baharu menjelma dalam hidup Christine. Dia seorang ibu yang amat mengenal anaknya Walter. Budak lelaki yang dipulangkan oleh pihak polis bukanlah anaknya tetapi seorang anak hilang yang lain.

Demi memperbaiki imej, polis Los Angelas telah mengajar anak tersebut untuk mengaku sebagai Walter Collins dan disiapkan jejeran media dan wartawan untuk menunjukkan betapa cekapnya pihak berkuasa.Christine bertegas budak yang didatangkan oleh pihak polis bukan anaknya. Ia menjadi lebih jelas apabila anak tersebut dilihat berkhatan, dan ketinggiannya tidak mencapai ketinggian Walter yang kerap diukur oleh Christine.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Christine mulai melawan arus. Pihak polis yang merasakan Christine kini di pihak yang bersiap untuk mencemar ‘nama baik’ mereka bakal bertindak lebih ganas. Christine didekati oleh seorang paderi, Gustav Brigleb agamawan yang mengisytiharkan perang moral ke atas pihak polis yang ganas dan melakukan jenayah terancang.

Pertama kali, Christine menolak untuk ‘berjuang bersamanya’. Christine hanya mahu anaknya pulang. Bukan terlibat dalam sebuah gerakan politik. Akan tetapi plot yang lebih mengejutkan menerjah. Pihak polis yang rasa terancam dengan suara-suara keras Christine membuat pilihan untuk mengisytiharkan Christine sebagai gila dan dia dihantar ke wad gila. Christine terkejut mendapati pesakit jiwa yang terkumpul di dalam hospital terasing tersebut ialah mangsa keganasan polis.

Ada di antaranya dihantar ke neraka itu semata-mata kerana tidak mahu meniduri pegawai polis tertentu. Ada yang dihantar ke tempat tersebut kerana mengingkari suami mereka, juga pegawai polis.Kekuatan filem ini ialah permainan plot dan sub-plotnya yang baik. Sebab dan akibat terjalin dengan baik meski ia bergerak lambat dan setingkat demi setingkat suspen atau ketegangan dibina. Perjuangan Christine kini bukan lagi mencari anak yang hilang semata-mata tetapi ialah melawan korupsi pihak polis dan ia dilakukan tanpa mengalah dan berundur.

Suku akhir filem ini memaparkan pula bahagian memualkan di mana penculik dan pembunuh bersiri kanak-kanak yang bertanggungjawab menculik Walter ditahan. Ia disulam dengan adegan polis termasuk ketuanya dihadapkan ke tribunal ala-ala inkues terbuka.Apakah lagi yang menarik pada Changeling?

Filem ini, Changeling mempaparkan sisi politik seorang agamawan, iaitu turun ke padang menyelesaikan masalah masyarakat. Gereja dijadikan titik pusat perlawanan menentang korupsi sehingga di akhirnya sebahagian besar masyarakat ikut keluar berdemonstrasi menunjuk rasa terhadap ketidakadilan pihak berkuasa. Kepimpinan agama seperti ini yang begitu teguh dan berani melawan ahli-ahli politik korup sering mendapat tempat dalam sejarah. Dalam skala yang lebih besar dan berpengaruh pada tahun 1979 misalnya, Imam Khomeini menjadi pemimpin agama yang bangkit menentang penindasan, ketidakadilan dan korupsi penguasa.

Rakyat yang terkesan oleh keganasan polis rahsia Savak ikut bersama dengan beliau. Changeling dikuatkan oleh lakonan bintang-bintang terkemuka Hollywood antara lain Angelina Jolie, John Malkovich dan Jeffrey Donovan. Ia menerima pencalonan Oscar untuk kategori sinematografi dan penataan seni. Jolie sendiri dicalonkan untuk kategori pelakon wanita terbaik.Changeling adalah satu lagi tanda dalam sinema moden.

Sekiranya filem Malaysia berminat untuk meninggalkan tanda di peringkat antarabangsa, filem yang berani seperti ini harus dihasilkan. Pelbagai korupsi yang pernah menjadi skandal dalam politik negara wajar difilemkan. Isu skandal BMF, Perwaja, reformasi tahun 1997, tragedi Memali, pembunuhan Altantuya Shaaribu, kes liwat Saiful Bukhari Azlan atau kematian misteri Teoh Beng Hock memberikan bumbu cerita yang bertenaga.Filem dengan sisi muluk dan molek pihak berkuasa ala Gerak Khas hanya meninggalkan citra propaganda. Kausaliti dengan niat propaganda sering diabaikan di peringkat internasional. Malah cepat kita lupakan.Tetapi adakah karyawan Malaysia yang berani?

Tersiar di Siasah edisi 15-21 November. Dilarang menerbit kembali atau memindah ubah.

No comments: